Oleh ABU BAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI 10,000 hingga 11,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu termasuk pegawai yang melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan juga dari Bukit Aman.
“Pihak polis kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam PRN Johor.
“Secara kasarnya, kita memang sudah melakukan persiapan melibatkan jumlah anggota dan juga dalam mengenal pasti lokasi panas yang akan menjadi tumpuan” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh PRN Johor bagi memastikan tidak disalah guna.
“Memang ada pasukan khas untuk pantau media sosial dan meneliti pelbagai fakta dan komen yang dibuat masyarakat, ini bagi memastikan tiada penyebaran maklumat palsu berlaku,” katanya.
Pasukan khas itu katanya, akan melibatkan pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat dari pelbagai jabatan dalam PDRM.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi PRN itu dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri.
DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan
mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
Leave a Reply