PGA rampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta di Kota Bharu

BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta termasuk cukai yang disembunyikan di kawasan semak di Kampung Lundang Paku, di Nilam Puri di Kota Bharu, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA8, Supt Mat Shukor Yusof berkata rampasan pada 3.30 pagi itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya mengesan dua kenderaan jenis Pajero dan Proton Exora yang mencurigakan di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu.

“Menyedari diekori, kedua-dua kenderaan tersebut dipandu laju ke Kampung Lundang Paku hingga gagal dikesan, namun anggota kami menemui kesan tayar kenderaan tersebut di kawasan semak.

“Pemeriksaan lanjut menemui timbunan 220 kotak besar berisi rokok putih jenama John disembunyikan di dalam semak dan dipercayai untuk diedarkan secepat mungkin ke kawasan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas PGA8 Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mat Shukor percaya rokok tersebut diseludup masuk melalui jalan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan di sini.

Katanya, kesemua rokok yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *