Pas tamak tapi tak ada kemampuan – Nur Jazlan

TIMBALAN Pengerusi Perhubungan UMNO Johor,Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Pas sebagai “tamak” kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi apabila tidak bersetuju dengan tawaran empat kerusi diberikan parti itu untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Katanya, Pas sepatutnya perlu menyedari kemampuan mereka sebelum meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi di negeri itu.

“Tamaknya (Pas), tapi tak ada kemampuan. Orang yang tak ada kekuatan nak letak syarat melebih-lebih, sudahlah tolak tawaran lima kerusi daripada UMNO untuk PRN Melaka, dan lepas itu ikut Bersatu dalam PN dan kalah pula di semua lapan kerusi yang mereka (PAS) tanding, malah dapat undi kurang dari Bersatu,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan “bukan cara yang baik” jika Pas hanya ditawarkan empat kerusi oleh UMNO untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Memetik laporan Malaysiakini, Pas pada asalnya berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat.

Tuan Ibrahim dipetik berkata, cadangan itu dibawa kepada UMNO dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

 Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, Pas sepatutnya muhasabah diri mengapa parti itu gagal bekerjasama dengan beberapa parti politik lain sebelum ini.

“Sekarang nak berlagak dengan UMNO. Mereka patut muhasabah diri dan tanya diri kenapa Pas gagal bekerjasama dengan semua parti politik termasuk perikatan Angkatan Perpaduan Ummah tahun 1990 dulu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *