KES COVID-19 membabitkan varian Omicron dikhuatiri akan meningkat di negara ini dan sistem kesihatan sudah bersedia menghadapinya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penularan varian itu diyakini terkawal ekoran kadar vaksinasi yang tinggi.
“Gelombang Omicron bermula di Malaysia.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Menurut beliau, jumlah kes Kategori 3, 4 dan 5 kini menunjukkan penurunan.
Kes pertama Omicron dikesan di negara ini membabitkan sampel seorang pelajar dari Afrika Selatan, yang tiba ke negara ini pada 19 Nov lalu.
Sejumlah 601 kes Omicron dikesan di negara ini sehingga semalam, dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan sejumlah 162 kes baharu Omicron direkodkan sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, sebanyak 6,188 kes Delta, 233 kes Beta dan 14 kes Alpha, dikesan dalam tempoh sama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, berkata tahap risiko membabitkan varian Omicron kekal tinggi, di mana jumlah kes baharu Covid-19 mencapai rekod baharu, minggu lalu.
Leave a Reply