KABINET hari ini membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Bagaimanapun beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.
“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh Kabinet.
“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari Tanah Suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata ia masih belum diputuskan.
“Tapi mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah adakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu. Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya,” katanya.
Leave a Reply