mazlan bujang warisan

Buat sidang media khas, Mazlan mahu umum keluar Bersatu?

KETUA Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang akan menjawab desas-desus beliau keluar parti dalam sidang media khas esok.

Memetik laporan BH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, semua pihak diminta menunggu sidang media tersebut.

“Mana boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas.

Pada masa ini, sedang berlegar spekulasi mengenai Mazlan akan menyertai sebuah parti politik lain.

Khabar angin mengaitkan bekas Pengerusi Bersatu Johor itu bakal bertukar parti semakin hangat diperkatakan selepas media mendapat jemputan sidang media pengumuman khas esok.

Selain itu, dua lagi ADUN Bersatu difahamkan turut mengikut jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu esok.

Isnin lalu, Mazlan dilaporkan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini, berikutan tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

Sebelum itu, pada 20 Januari lalu pula, Mazlan dilaporkan bersedia mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.

Beliau sebelum ini, menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *