SELEPAS tular video penemuan ular sawa, kini wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf tampil dengan membuat laporan langsung di Pasar Bukit Selambau, Kedah.
Sekali lagi, kepetahan Haziq menarik perjatian ramai menerusi video berdurasi dua minit 20 saat yang tular di aplikasi Twitter.
Menerusi video tersebut, remaja berumur 12 tahun itu menemuramah beberapa peniaga di pasar tersebut dengan yakinnya dan dilihat seperti sudah terbiasa membuat liputan.
Memetik laporan Astro Awani, ayahnya, Mohd Asyraf Ahmad, 37, yang berniaga di pasar berkenaan menyatakan bahawa dunia kewartawanan adalah antara cabang kerjaya yang diminati oleh anaknya selain menjadi chef tersohor yang merupakan cita-cita sebenarnya.
Selain itu, Muhammad Haziq turut menyatakan bahawa kehidupannya mula berubah selepas videonya tular dan orang ramai yang menyedari kehadirannya mahu merakamkan foto kenangan terutama dalam kalangan guru sekolah dan pengunjung Pasar Pagi Bukit Selambau.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi pujian terhadap kemahirannya yang mampu membuat liputan secara langsung dengan cara penceritaannya yang mudah menangkap perhatian penonton.
Terdahulu, tular sebuah video Muhammad Haziq yang petah berkata-kata dengan lenggok tidak ubah seperti seorang wartawan ketika ‘melaporkan’ kejadian penemuan seekor ular di Bukit Selambau.
Menerusi video tersebut, Muhammad Haziq menyatakan air dalam longkang tersebut bertakung tinggi disebabkan terdapat seekor ular di dalamnya dan mencuba sehabis baik untuk tidak terlepas sebarang maklumat ketika melaporkan kejadian berkenaan biarpun dalam keadaan termengah-mengah
Leave a Reply