PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah pendirian perikatan itu setakat ini selepas mengadakan perbincangan dengan rakan dalam parti gabungan termasuk Pas dan Gerakan.
“Kalau setakat hari ini begitulah (tanding semua kerusi DUN Johor). Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di Shah Alam, malam ini.
Muhyiddin juga memaklumkan Pas setakat istiqomah untuk kekal bersama PN berhadapan pilihan raya itu.
Mengenai cadangan supaya PN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), bekas Perdana Menteri itu menganggap ia hanya pandangan sahaja.
“Itu hanya dakwaan mereka. Saya kata, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini. Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata, PN bersedia menerima pandangan pelbagai pihak mengenai konsep kerjasama politik melibatkan gabungan lain sama ada PH atau BN.
“Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak tahu apa tujuan mereka. Biasa sikap kita terbuka dengan pandangan orang. Kita tak mudah nak tolak,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, gerak kerja PN dalam PRN itu adalah menarik sokongan pengundi baru yang berjumlah lebih 700,000 termasuk pengundi 18 tahun dan PN menggabungkan calon muka baru dengan senior.
Bagi PRN Johor, jumlah pengundi muda dianggarkan 749,731 menjadikan jumlah pengundi di negeri itu yang akan mengundi pada PRN kali ini ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada PRU-14.
Leave a Reply