grafik polis semporna

Penumpang samun, tikam pemandu e-hailing ditahan

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menikam dan menyamun seorang pemandu e-hailing, dalam satu kejadian di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di Kota Damansara, Selangor selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 47 tahun itu mengambil suspek yang juga penumpang itu di Putrajaya, kira-kira 1 tengah hari.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek meminta nombor akaun untuk membuat pembayaran namun ketika mangsa sedang mencari nombor tersebut, suspek bertindak menikam leher mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan milik mangsa.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata pihaknya berjaya menemui semula kereta Proton Saga milik mangsa dengan nombor pendaftaran telah dibuang dalam tong sampah, serta beberapa barangan peribadi milik mangsa.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tiga video mengenai kejadian itu tular di media sosial, memaparkan tindakan seorang lelaki menarik keluar individu dipercayi pemandu e-hailing yang mempunyai kesan darah di bahagian lehernya, sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *