JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia mengesahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sudah memberi restu untuknya bergerak secara profesional.
Juara Seluruh England 2021 itu mendedahkan perkembangan positif itu menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi BAM.
“Saya sangat gembira apabila dapat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tan Sri Norza bersama dengan keluarga saya. Saya gembira apabila kami dapat menyelesaikan masalah yang timbul selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.
“Pencapaian yang saya raih sebelum dan selepas ini akan sentiasa menjadi produk daripada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat bertuah apabila mendapat bimbingan Tan Sri dan memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada negara yang tercinta,” kata pemain berusia 23 tahun itu, lapor Berita Harian.
Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia itu juga memberi perkhabaran gembira kepada skuad badminton kebangsaan apabila turut menyatakan komitmennya untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan depan.
“Buat masa sekarang, saya menyatakan komitmen untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia. Saya berharap penyelesaian ini akan menyatukan sebagai rakyat Malaysia dan peminat sukan badminton.
“Teruskan sokongan kepada BAM dan pemain profesional negara yang juga lahir daripada BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” kata Zii Jia.
Leave a Reply