LANGKAH Pas Johor untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad bagi berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat sebagai usaha parti itu untuk menyelamatkan diri dan menjadi kerajaan melalui “pintu belakang”.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana Pas tahu bahawa parti itu tidak mempunyai sokongan yang kuat di negeri tersebut.
“Jadi mereka nak runding untuk dapat kerusi dan supaya UMNO tolong mereka. Tapi buat apa kita nak tolong orang yang lemah? Pas sudah buktikan di Melaka, mereka tanding sendiri dan kalah semua kerusi.
“UMNO pun dah tawarkan (ketika itu) untuk (Pas) tanding lima kerusi tapi mereka pilih nak tanding sendiri, sudahnya kalah semua. Keadaan sokongan Pas dekat Johor ini pun sama dengan Melaka, amat kurang.
“Jadi, saya lihat ia sebagai cara Pas untuk masuk pintu belakang, konon-konon nak kerjasama dengan UMNO tapi tak ikhlas,” katanya lapor Malaysiakini.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata, pihaknya cuba bertemu dengan Hasni sehari selepas BN menyatakan hasrat gabungan itu untuk bergerak secara solo.
Abdullah yang dipetik portal berita rasmi Pas, Harakahdaily berkata ia bagi berbincang mengenai PRN akan datang dalam semangat Muafakat Nasional (MN).
Mengulas lanjut, Nur Jazlan secara peribadi berkata beliau tidak akan bertemu dengan pimpinan Pas kerana UMNO sudah lama memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Saya tak akan jumpa (pimpinan Pas), sebab saya tak percaya orang Pas ini,” katanya.
Nur Jazlan berkata terpulang kepada Hasni sama ada mahu mengadakan pertemuan itu atau pun tidak tetapi sebarang keputusan berhubung kerjasama tetap peru dibawa ke peringkat jawatankuasa UMNO negeri.
“Kita tak macam Pas yang Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) boleh buat keputusan sendiri bagi orang bawah. Maknanya, jika Hasni mahu buat keputusan kerjasama pun dia kena bawa ke peringkat Jawatankuasa UMNO negeri dulu. Dia tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya lagi.
Bagi Nur Jazlan, tiada apa lagi yang perlu dibincangkan dengan Pas memandangkan parti itu sudah menyatakan hasrat untuk kekal bekerjasama dengan PN.
“Kita pun memang dah lama buat keputusan di peringkat pusat bahawa kita tidak mahu kerjasama dengan PN. Sekarang nak bincang apa lagi?” soalnya lagi.
Leave a Reply