UMNO perlu ‘merehatkan’ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada memegang jawatan penting dalam parti termasuk sebagai Presiden.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Datuk Seri Ismail Sabri seharusnya memangku kekosongan jawatan tersebut sehingga pemilihan parti diadakan.
Menurut beliau, langkah itu adakah sesuai dengan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Saya berkongsi pandangan ini kerana bimbang UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya akan berdepan dengan kesukaran untuk meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Keputusan PRU-14 sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada UMNO bahawa pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah dan bergelumang dengan isu penyalahgunaan kuasa akan menjadi beban kepada parti dan dicemuh serta ditolak pengundi.
“Saya juga berpendapat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mencerminkan kekuatan sebenar mana-mana parti kerana pengundi pada PRU memiliki tanggapan dan keyakinan yang berbeza,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Syed Ali menambah, Ismail Sabri perlu dipilih sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal sebagai Timbalan Presiden bagi menjamin survival parti untuk menghadapi PRU-15.
“Walaupun ada pihak berpendapat kes Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada UMNO, tetapi saya tetap percaya bahawa kes berkenaan akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terbanyak terhadap UMNO dan mampu mempengaruhi keputusan PRU-15.
“Tambahan, ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi masih tertanya-tanya apakah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 2009 yang memutuskan mana-mana pemimpin parti itu terbabit kes mahkamah secara automatik akan digantung semua jawatan dalam parti, masih diguna pakai atau sebaliknya.
“Presiden UMNO pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO pada 30 Mei 2009 juga berkata: ‘Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan’,” jelasnya.
Berdasarkan kepada keputusan MT UMNO pada tahun 2009, Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan banyak pemimpin UMNO termasuk Ketua Bahagian yang terkait dengan kes mahkamah dan dikenakan tindakan disiplin tetapi masih lagi memegang jawatan dalam parti.
“Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO perlu mengeluarkan kenyataan terbuka menjelaskan kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sama ada ketetapan itu telah dibatalkan atau masih lagi berkuatkuasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan parti.
“Jika secara rasmi ia telah dibatalkan, bermakna tindakan disiplin yang telah diambil ke atas pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini secara automatik turut terbatal dan tidak sah.
“Sebaliknya, jika keputusan MT UMNO 2009 masih lagi kekal sehingga ke hari ini, bagaimana pula dengan kedudukan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan dalam parti tetapi sedang disabitkan dengan kes mahkamah termasuk mereka yang dalam proses perbicaraan?” soalnya.
Leave a Reply