mazlan bujang

PRN Johor:Mazlan tidak bertanding atas tiket Bersatu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang tidak berhasrat untuk bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua BERSATU Bahagian Tebrau itu berkata, keputusan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat termasuk hala tuju baharu politiknya.

Jelas beliau yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor, setakat ini masih lagi bersama parti tersebut.

“Tunggulah sehari dua lagi saya akan buat keputusan muktamad, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket Bersatu.

“Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama-sama parti itu. Prinsip kami juga tidak sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 20 Januari lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik, sekiranya PRN Johor diadakan.

Mazlan sebelum ini dilaporkan menafikan akan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan PRN Johor diadakan.

Ditanya sama ada beliau sudah tidak lagi mahu bersama-sama BERSATU, Mazlan mengakui perkara itu.

“Ya, saya tidak mahu bersama-sama BERSATU yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

Pada masa sama katanya, masih belum menerima tawaran daripada mana-mana parti lain.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *