AKAR umbi PKR menggesa agar calon-calon parti itu bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dinyatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.
“Kita zahirkan (dalam mesyuarat) tadi bahawa setelah pengalaman di Melaka, akar umbi PKR agak kuat meminta agar logo PKR digunakan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, DAP dan PAN mahu menggunakan logo PH.
“Pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai (logo) PH. Jadi kita akan muktamadkan dalam dua hari lagi,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi PH memberitahu, gesaan akar umbi PKR itu hanya untuk kerusi-kerusi yang ditandingi calon parti tersebut sahaja.
Terdahulu, seorang pemimpin PH Johor menyuarakan harapan agar isu tersebut dapat diselesaikan dalam mesyuarat hari ini.
Ekoran pencapaian buruk PH dalam PRN Melaka pada November lalu – ketika itu menggunakan logo gabungan – PKR membangkitkan agar gabungan itu kembali menggunakan logo PKR dalam pilihan raya akan datang.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika itu berkata, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi ketika PRN Melaka, antaranya untuk memperkenalkan calon-calon baharu dan lambang PH yang berbeza berbanding ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke juga pernah mencadangkan yang PH tidak lagi perlu berpegang dengan keyakinan bahawa perlu satu logo tunggal untuk menang dalam pilihan raya.
Leave a Reply