Pejuang tanding 42 kerusi DUN dalam PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan membuat kemunculan pertamanya dalam arena politik tanahiar apabila mengumumkan untuk bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh berkata, semua kerusi akan ditandingi mereka adalah di kawasan majoriti Melayu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pengundi Melayu kerana yakin Pejuang akan mendapat tempat dan memenangi hati mereka terutama dengan motto parti Berintegriti, Bersih, Cekap dan Amanah.

Jelas Ahli Parlimen Sri Gading itu, tiada masalah sekiranya parti itu akan bertemu dengan UMNO yang juga menyasarkan kawasan Melayu.

“Jika orang Melayu boleh terima UMNO, kenapa mereka tidak boleh menerima Pejuang iaitu sebuah parti yang menentang rasuah dan memperjuangkan integriti.

“Kita yakin orang Melayu akan memilih Pejuang. Jika menang kita akan bentuk kerajaan sendiri walaupun dua pertiga majoriti menang atau 36 kerusi DUN negeri sudah boleh membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

DUN Johor dibubarkan kelmarin selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pejuang sebelum ini mengumumkan tidak bertanding di PRN Melaka dan Sarawak malah tidak akan membantu mana-mana parti politik berkempen.

Menurut Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, ini kerana pilihan raya itu berlaku berkenaan cuma mainan politik pihak tertentu selain keadaan semasa negara yang masih berdepan Covid-19 dan bukan masa terbaik mengadakan pilihan raya.

Mengulas lanjut, Dr. Saharuddin yang juga Bendahari Agung Pejuang berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk bertanding secara solo atau bakal berganding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRN tersebut.

Menuruntnya, perbincangan dengan PH sudah dilakukan untuk bergabung sebagai satu barisan dalam blok pembangkang tetapi masih belum ada kata putus lagi kerana perlu menimbang perkara itu.

“Pejuang cadang bergerak secara solo dalam PRN ini kerana percaya akan menang di kerusi yang kita tandingi. Kita akan teliti perkara ini.

“Ada yang bertanya, kenapa Pejuang perlu bertanding solo? Saya kata apa masalahnya kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun akan tanding solo. Kita tidak kisah kalau berlaku pertembungan tiga penjuru dengan pihak lain,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *