KIRA-KIRA 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling, Melaka resah apabila penempatan mereka ‘diserang’ sekumpulan babi hutan sejak sebulan lepas.
Seorang pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, berkata beliau mengalami kerugian apabila pokok pisang dan ubi yang ditanamnya musnah akibat disondol haiwan itu yang berkeliaran mencari makanan di kawasan kebunnya.
“Rasa seperti hendak putus asa pun ada, sebab sudah berbulan saya usahakan kebun itu,” katanya dan menambah beliau juga terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika diserang haiwan itu.
Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim, 76, berkata dia tidak pernah melihat kemunculan babi dengan jumlah yang banyak dan kerap sepanjang lebih 50 tahun tinggal di kampung berkenaan, dan kehadiran haiwan itu sejak bulan lepas amat mengejutkan.
“Dah lama mak cik duduk (tinggal) sini… memang perasan sejak bulan lepas banyak babi berkeliaran. Setiap hari ada sahaja mak cik nampak penduduk berlari ke sana sini kejar babi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata perkara itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka bagi tindakan lanjut.
Semalam, tular di laman sosial klip video dirakam penduduk yang memaparkan babi hutan berkeliaran di hadapan sebuah rumah sehingga menimbulkan suasana cemas.- Bernama
Leave a Reply