SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas ditembak di bahagian kepala di Little Village, Chicago pada Sabtu lalu, kata pihak polis.
Melissa Ortega, 8, baru sahaja berpindah dari Mexico ke Chicago. Ketika berjalan-jalan bersama penjaganya, suspek melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki berumur 26 tahun yang sedang keluar dari sebuah kedai runcit.
Melissa dan penjaganya berlari masuk ke sebuah bank selepas mendengar bunyi tembakan namun penjaganya menyedari Melissa terkena tembakan.

Menurut pihak polis, lelaki yang keluar dari kedai runcit itu adalah sasaran sebenar, bagaimanapun Melissa terkena tembakan yang tersasar. Walaupun penjaganya tidak tercedera, Melissa disahkan mati ketika tiba di Hospital Stroger.
Jurucakap balai polis Chicago, Michelle Tanehill berkata lelaki tersebut yang cedera di bahagian belakang kepala kini dalam keadaan kritikal di hospital Mount Sinai sejak Ahad lalu.
Suspek sehingga kini belum dapat ditahan dan David Brown, Superintenden Balai Polis Chicago berkata mereka akan teruskan usaha untuk mencari suspek.
“Pembunuhan tragis dan tidak berhati perut Melissa telah mengejutkan bandar kami. Tiada apa yang boleh dikatakan apabila nyawa seorang kanak-kanak diambil. Tidak boleh dijelaskan perasaan keluarganya,” kata Brown di laman Twitternya.
Melissa merupakan pelajar dari akademi Emiliano Zapata, sebuah sekolah rendah di kawasan bandar yang banyak dihuni oleh orang Mexico. Keluarganya baru berpindah dari Mexico tahun lepas dan kini mereka sedang mengendalikan kutipan derma dalam talian untuk pengebumiannya.
Leave a Reply