ADUN DAP Sabah

Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong meminta Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon supaya tidak sewenangnya membuat tuduhan tidak berasas, dan sebaliknya menerima keputusannya meninggalkan DAP dengan terbuka.

Katanya, tujuan beliau bersama beberapa rakan seperjuangannya meninggalkan DAP adalah dengan harapan agar pembelaan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif, dan bukannya sengaja berhasrat untuk melompat ke mana-mana parti lain.

Dalam satu kenyataan di Sandakan hari ini beliau berkata, mereka juga memilih untuk keluar parti atas alasan sama, yakni DAP Sabah hilang arah, selain mengalami perbalahan dalaman serta masalah komunikasi teruk antara pemimpinnya.

“Kami tekankan di sini, kami meninggalkan parti kerana mahu berjuang untuk rakyat di Sabah agar dapat diberi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik serta bersifat masyarakat inklusif mengatasi bangsa dan agama,” tegas Chong.

Dua hari lepas Poon mendakwa, tindakan Chong dan ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin untuk keluar parti dibuat sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang disebabkan agenda tertentu, dan beliau turut menggesa mereka supaya meletak jawatan sebagai ADUN. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *