Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

bersatu johor prn PN

BERSATU Johor akan mengadakan mesyuarat bersama semua Ketua Bahagian dan jentera parti itu bagi membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional negeri juga akan diadakan bagi tujuan sama.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bersatu yang ketika itu di bawah payung Pakatan Harapan, bertanding 17 kerusi DUN Johor dan memenangi sembilan kerusi.

Sementara itu di IPOH, Perak Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung PRN Johor.

“Dewan telah pun dibubarkan dan kami menghormati keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar.

“Tentunya Bersatu akan ambil bahagian dan kami akan berbincang dengan rakan strategik kami dalam PN untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di sini hari ini.

Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai perancangan kerjasama dalam menghadapi PRN itu antara UMNO dan PAS.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementeriannya sedang merancang bekerjasama dengan GABEM dan rakan kongsi lain untuk mengadakan program bagi membantu usahawan dalam kalangan belia di seluruh negara.

“Saya lihat usaha GABEM untuk program pendigitalan perniagaan ini amat baik dan kami akan memulakan proses perundingan kerjasama dan insya-Allah jika ia sesuai, kita akan memulakan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *