TIMBALAN Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, jangkaan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat hanya spekulasi.
Ahmad Faizal berkata, namun jika PRN itu diadakan juga, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang akan bakal memerintah di Johor.
“Seperti di Perak dan kerajaan Persekutuan. Saya memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Menteri Besar Perak dan kepada Perdana Menteri yang datang daripada UMNO.

“Maka, kita fokus kepada perkara itu (kerajaan sedia ada) dulu,” katanya selepas melepaskan peserta Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pas akan berbincang dengan UMNO bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Johor jika diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, selain UMNO, parti itu akan berbincang dengan rakan politik lain bagi membentuk kerjasama.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan terus memberi fokus berkhidmat untuk rakyat.
“Daripada segi pilihan raya, jika kami (Bersatu) tidak bersama, sama-samalah kita mendapatkan sokongan daripada rakyat.
“Insya-Allah kalau rakyat terima, kita boleh tubuhkan kerajaan, tak payah nak gaduh-gaduh,” katanya.
Leave a Reply