Pemecatan Khairuddin tiada kaitan dengan Muafakat Nasional

PEMECATAN Datuk Dr Khairudin Aman Razali selaku ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pusat tiada kaitan dengan Majlis Syura Ulama, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Kuala Nerus masih kekal sebagai ahli Majlis Syura dan pemecatannya juga tiada kaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

“Itu saya tak boleh nak bagi jawapan (alasan pemecatan) sebab pihak presiden yang membawa kepada jawatankuasa pusat untuk memecatnya. Jadi, dia tak ada kena mengena dengan Majlis Syura.

“Jadi, oleh kerana penjelasan dibuat oleh Presiden bahawa (ia melibatkan) disiplin parti maka presiden punya hujah dia dan dia sendiri pun tidak menjelaskan. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi,” katanya kepada portal Malaysiakini.

Semalam, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah berkaitan dengan disiplin.

“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja,” katanya sambil menambah tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Dalam pada itu, Hashim berkata Presiden parti berhak untuk tidak memberi penjelasan mengenai pemecatan bekas menteri itu daripada jawatankuasa PAS pusat.

“Itu (pemecatan) tidak ada kena mengena dengan MN atau benda-benda lain. Tak perlu (jelaskan). Beliau perlu hurai kepada jawatankuasa. Khairuddin juga dimaklumkan atas alasan apa beliau dipecat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *