Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGUNDI perlu menolak dan memastikan penyokong kluster mahkamah daripada kem UMNO tidak memegang tampuk pemerintahan jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu kenyataan memberitahu, ini kerana kelompok tersebut akan menggunakan apa juga cara sekiranya kemahuan mereka tidak dipenuhi.
Jelas Armada Bersatu, ini boleh dilihat semasa gerakan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya lagi, majoriti rakyat termasuk pengundi Johor sedang menunggu UMNO yang bersih dan bukannya pemimpin mereka yang korup.
“Spekulasi PRN Johor semakin kuat dengan khabar angin bahawa surat pembubaran DUN telah diserahkan kepada Speaker. Kematian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menyebabkan kerajaan negeri hanya ada satu kelebihan majoriti.
“Ia terlalu tipis walaupun mendapat jaminan daripada Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka menghormati memorandum dan tidak akan mengganggu kestabilan. Dalam politik, jangan terlena dengan janji kerana prinsipnya hanya dua iaitu ‘membunuh’ atau ‘dibunuh.’
“Yang lebih menarik untuk dilihat adakah kerjasama antara UMNO dan Bersatu masih dapat dipertahankan atau UMNO merasa telah kuat dan akan terus bergerak solo seperti di Melaka,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, walaupun UMNO tahu peratusan yang keluar mengundi dalam PRN Melaka lalu adalah rendah, tetapi mereka tetap mengharapkan kemenangan dua pertiga majoriti akan berulang di Johor.
“Sedangkan kita semua tahu rakyat menolak UMNO yang korup dan menunggu UMNO yang bersih. Namun, adakah ia akan terjadi. Kita lihat yang lantang bersuara di Johor adalah penyokong kluster mahkamah dan mereka yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Sebenarnya kita berharap UMNO dapat bekerjasama dengan Bersatu dan Pas atas semangat perpaduan Melayu Islam. Namun, jika UMNO merasa sudah kuat, maka pengundi perlu keluar beramai-ramai bagi memastikan kluster mahkamah tak kembali berkuasa,” jelas kenyataan itu.
Menurut Armada, mahkamah akan menentukan adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil untuk membela diri atau tidak pada 24 Januari ini.
“Jika ya, maka kita dapat jangka tekanan akan semakin tinggi kerana semua orang juga tahu bahawa sebahagian penyokong UMNO menolak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun daripada parti yang sama.
“Beliau dianggap sebagai pembelot parti jadi mungkinkah beliau pula yang akan ditumbangkan kerana dianggap tidak bantu kawan. Hayat politik Perdana Menteri bergantung kepada seberapa teguh PH berpegang pada memorandum yang tamat pada Julai nanti.
“Sebenarnya sistem kehakiman patut dibiarkan bebas dan pesalah perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka. Terpulang kepada rakyat dan para pengundi untuk memilih pemimpin bersih atau terus membiarkan budaya ‘cash is king’ dan korupsi terus sebati,” tambah kenyataan itu.
Leave a Reply