SEBUAH pesawat American Airlines yang menghala ke London dari Miami terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpang enggan memakai pelitup muka.
American Airlines berkata pesawat tersebut bertindak demikian pada malam Rabu lalu, pesawat 38 American Airlines yang berlepas dari Miami (MIA) ke London (LHR) berpatah balik disebabkan seorang penumpang enggan mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka.
Menurut portal Miami Herald, penerbangan tersebut sudah pun memulakan perjalanannya selama 90 minit dan terbang pada paras 34,000 kaki atas lautan Atlantik sebelum berpatah balik ke lapangan terbang Miami.
Syarikat penerbangan tersebut berkata mereka menghubungi pihak polis Miami dan pegawai-pegawai membawa wanita tersebut keluar daripada pesawat itu tanpa sebarang masalah.
Jurucakap Balai polis Miami-Dade berkata, kakitangan American Airlines menguruskan masalah dengan penumpang tersebut dengan tenang. CNN berkata penerbangan tersebut dibatalkan selepas tiba di terminal.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami dan meminta maaf kepada pelanggan kami ke atas kesulitan ini,” kata American Airlines dalam satu kenyataan.
Menurut peraturan yang diperkenalkan oleh Federal Aviation Administration (FAA), semua penumpang yang menaiki pesawat masuk atau keluar ke Amerika Syarikat wajib memakai pelitup muka di dalam pesawat untuk mengelak jangkitan Covid-19.
FAA menyatakan terdapat peningkatan kes-kes penumpang yang tidak mengikut peraturan sejak permulaan pandemik.
Leave a Reply