DESAS-DESUS kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang.
Namun, ramai yang tidak bersetuju jika perancangan memilih semula Ahli Dewan Undangan (ADUN) itu tetap diteruskan.
Antaranya termasuklah selebriti kelahiran Segamat, Johor, Mohd. Nasir Haji Hamzah atau lebih popular dengan nama Achey Bocey.
Achey yang juga pelawak dan penyanyi, beranggapan rakyat masih berada dalam keadaan sukar selepas banjir dan kini bergelut untuk pulih dan situasi itu diakui bukannya mudah untuk ditangani.
“Carilah satu masa yang sesuai, sekarang dengan Covid-19 dengan varian Omicron lagi.
“Nanti nak sambut raya tak boleh, tapi pilihanraya boleh pula,” katanya menerusi perkongsiannya di Instagram.
Tambahnya, ketika ini lebih baik semua pihak memberi fokus kepada usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan juga pembangunan semula selepas banjir.
“Kalau nak dijalankan juga (PRN), saya pun tak boleh nak buat apa.
“Pendapat saya ialah saya kurang bersetuju sebab peralihan kuasa ini boleh ‘relax’ dulu kot,” katanya.
Mengulas lanjut, Achey sempat menegaskan sekali lagi bahawa dia bukannya tidak bersetuju dengan PRN, namun beliau kurang bersetuju sekiranya PRN tetap diadakan dalam keadaan sekarang.
Ketika ini kerajaan negeri Johor yang diterajui Datuk Hasni Mohammad agak goyang kerana hanya memiliki kelebihan satu kerusi dalam DUN Johor selepas kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian.
DUN Johor yang diterajui Barisan Nasional hanya mempunyai 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Leave a Reply