Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMUNGKINAN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat tidak dapat ditahan atau dihalang lagi yang dijangka diadakan bulan depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada minggu depan untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini bagi memberi laluan supaya PRN dapat diadakan pada pertengahan Februari depan. Tarikhnya belum pasti tetapi PRN sudah tentu berlaku walaupun mendapat tentangan dan bantahan ramai pihak.
Hasni dijadualkan akan mengadakan sidang media khas esok, kemungkinan selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Johor di Johor Bahru, dipercayai berkaitan pembubaran DUN, sekali gus memberi laluan kepada PRN ketiga sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Selain memperincikan senarai calon untuk 56 kerusi DUN, mesyuarat itu juga dijangka menyentuh mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal dibentangkan sewaktu tempoh berkempen nanti.
Strategi yang digunakan untuk membubarkan DUN sebelum Tahun Baru Cina (TBC) dan PRN diadakan selepas itu, adalah satu langkah bagi memastikan pengundi Cina tidak pulang mengundi kerana baru pulang menyambut TBC.
Ini kerana mereka sudah bercuti sempena TBC dan tidak akan pulang semula dalam masa yang singkat untuk mengundi dalam PRN.
UMNO tetap mahukan PRN kerana meramalkan boleh menang di peringkat DUN tetapi amat sukar untuk menang di peringkat Parlimen kerana banyak isu-isu yang tidak akan memihak kepada mereka.
Jadi jika menang PRN Johor sepertimana PRN Melaka baru-baru ini akan menjadi satu momentum dan penanda aras baharu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tahun ini.
Rakyat Johor dijadikan bahan uji kaji dan eksperiman politik untuk menguji sejauh mana penerimaa rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Nafsu UMNO yang meluap-luap untuk mengadakan PRN dalam keadaan pasca banjir, kewujudan varian baharu Covid-19 dan rakyat yang baru bangkit daripada pandemik itu, adalah disebabkan kononnya mereka sangat pasti akan menang PRN Johor.
Alasan untuk mengadakan PRN hanya kerana selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang jua bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.
Ini adalah satu alasan yang dangkal dan tidak boleh diterima. Diharapkan Sultan Johor dapat memainkan peranan penting dalam hal ini dengan menimbang sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat jelata.
Rakyat melihat tiada keperluan untuk PRN hanya kerana alasan kerajaan negeri ada lebih satu kerusi. Begitu juga pihak pembangkang di negeri ini mengambil pendekatan tegas dan jelas menentang sekeras-kerasnya agar PRN tidak segera diadakan.
Ini adalah sesuatu yang mengelirukan apatah lagi desakan untuk PRN datang daripada UMNO yang sekali lagi mahu meruntuhkah kerajaan negeri pimpinannya selepas di Melaka walaupun tahu akan berlaku satu pembaziran besar yang amat merugikan serta melibatkan duit rakyat.
Konflik dan kerakusan merealisasikan agenda politik menjadi keutamaan mereka. Namun apakah motif atau relevannya mengadakan PRN tatkala rakyat sedang berada dalam situasi tertekan dan bertungkus lumus untuk kembali kepada kehidupan seharian yang normal?
Hasni sepatutnya tidak mengikut kemahuan atau tuntutan ‘penganggur’ politik yang ego dan ingin mendapatkan tempat semata-mata selepas nama-nama besar tersebut tewas dalam PRU ke-14.
Sekiranya PRN tetap diadakan, keputusan itu disifatkan derhaka dan melanggar titah Sultan Johor dalam sidang DUN Johor baru-baru ini yang tidak mahu wakil rakyat terus berpolitik termasuk menjatuhkan kerajaan negeri, sebaliknya tumpu kepada masalah rakyat.
Sultan Ibrahim bertitah mahukan semua ADUN Johor memberi perhatian terhadap rakyat yang sedang susah, kelaparan, hilang pekerjaan dan ada juga yang bertarung nyawa akibat penularan Covid-19.
Leave a Reply