5 maut, lori kontena rempuh 20 kenderaan di lampu isyarat

SERAMAI lima terkorban dalam kemalangan jalan raya membabitkan lori kontena di Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia, hari ini.

Menerusi rakaman CCTV yang tular dalam media sosial, memaparkan lori berkenaan merempuh kira-kira 20 kenderaan yang berhenti semasa lampu isyarat merah.

Memetik laporan Kompas TV, insiden berlaku di persimpangan jalan Muara Rapak, Balikpapan pukul 6.15 pagi Jumaat (waktu tempatan).

Menurut Ketua Polis Trafik Kalimantan Timur, Sony Irawan, setakat ini, pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah keseluruhan mangsa korban serta jumlah kenderaan yang terlibat.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, kemalangan dipercayai berlaku akibat kegagalan brek lori tersebut.

Jurucakap Polis Kalimantan Timur, Yusuf Sutejo berkata, pemandu lori yang dikenal pasti sebagai M. Ali, 47 tahun, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Balikpapan.

“Trak dengan muatan kontena 20 kaki itu mengandungi kapur pembersih air dengan berat 20 tan.

“Di depan simpang Muara Rapak adalah bundaran (bulatan), jadi dia berhenti setelah menabrak sejumlah kenderaan di situ,” kata Yusuf.

Menurut pemandu berkenaan, dia cuba memperlahankan lori ketika di persimpangan jalan, namun gagal akibat masalah brek, memetik laporan Kompas TV.

Rakaman CCTV serta rakaman video oleh beberapa saksi di lokasi kejadian tular dalam media sosial sejak hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *