POLIS menahan seorang tukang paip di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis sekitar bandar itu, semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.30 petang, dan semasa ditahan polis turut menemukan meter air serta pelbagai peralatan membaiki paip bersama suspek.
“Siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai seorang tukang paip dan disyaki menggunakan peralatan yang dirampas untuk menjalankan kegiatannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata suspek yang didapati positif dadah jenis Methamphetamin mengaku mencuri meter air serta peralatan paip di sekitar daerah Kota Bharu sejak setahun yang lepas, dan dia juga didapati memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah di Pengkalan Chepa dan Pasir Mas.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply