Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA pemain kebangsaan Filipina menjadi pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuat pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini serta Liga Juara-juara Asia (ACL) 2022.
JDT dalam satu video berdurasi 48 saat yang dimuat naik dalam media sosial mereka memperkenalkan dua pemain tersebut iaitu Bienvenido Maranon dan Carli De Murga.
Dalam video berkenaan, pemain itu dilihat keluar daripada sebuah limosin hitam yang berhenti di depan pintu utama ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Maranon, 36, yang bermain di posisi penyerang itu dilahirkan di Sepanyol bermain untuk pasukan kebangsaan Filipina dan mewakili kelab United City FC di negara berkenaan.

Sementara itu, De Murga, 34, yang juga lahir di Sepanyol namun turut beraksi untuk pasukan kebangsaan Filipina itu sebelum ini merupakan pemain Terengganu FC.
Maranon bakal menyarung jersi bernombor 27 manakala De Murga bakal menyarung jersi bernombor 23.
Kedua-dua pemain itu akan menyertai rakan sepasukan yang lain bagi menyertai perlawanan persahabatan skuad di Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk latihan pra-musim.
Sebelum ini, skuad Harimau Selatan mengumumkan kehadiran pemain import baharu mereka iaitu Fernando Forestieri, yang sebelum ini beraksi dalam Liga Serie A, Itali dan bekas pemain Selangor, Syahmi Safari.
Leave a Reply