”Jangan cakap soal hak asasi manusia di Beijing” – Nasihat NGO kepada atlet Sukan Olimpik Musim Sejuk

ATLET-atlet yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari ini dinasihatkan tidak bercakap atau menyentuh apa-apa berhubung hak asasi manusia di negara republik tersebut.

Nasihat itu diberikan oleh panel dalam seminar Human Right Watch di negara berkenaan demi keselamatan mereka.

Keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memilih China sebagai tuan rumah  bagi sukan tersebut telah dipertikaikan oleh pejuang-pejuang kemanusiaan berikutan penderaan yang dilakukan oleh kerajaan kerajaan negara itu ke atas rakyat Uyghur.

“Sebenarnya, tidak banyak perlindungan yang boleh kami berikan kepada olahragawan. Kami menasihatkan para olahragawan untuk tidak bercakap tentang perkara ini. Kami ingin mereka bertanding dan bersuara ketika mereka pulang,’’ kata Rob Koehler, Pengarah Global Athlete Group dalam seminar tersebut.

Peraturan Ke-50 Undang-Undang Olimpik tidak membenarkan sebarang demonstrasi atau agenda politik, keagamaan atau perkauman di mana-mana gelanggang Olimpik.

“Undang-undang China berkaitan jenayah-jenayah yang boleh mendakwa kebebasan bersuara adalah tidak jelas,” kata penyelidik Human Rights Watch Yaqiu Wang.

Noah Hoffman, yang pernah mewakili Amerika Syarikat untuk acara ski pada 2014 dan 2018 berkata bahawa pasukan beliau dilindungi daripada soalan-soalan berkaitan hak kemanusiaan.

“Saya risau terhadap rakan sepasukan saya yang ke China. Saya tahu rakan-rakan saya dilindungi daripada  soalan-soalan berkaitan isu-isu tersebut demi keselamatan mereka sendiri,” kata Hoffman.

Sukan Olimpik Beijing akan bermula pada 4 Februari. Beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan juga Australia telah mengumumkan memboikot secara diplomatik disebabkan dakwaan perlanggaran hak kemanusiaan di Cina.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *