Oleh RIZQI ZABIDI
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan tiga nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram dekat Langkawi, Ahad lalu.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran itu dikesan pada kedudukan kira-kira dua batu nautika barat laut, Tanjung Langgun pada jam 11.32 malam.
Katanya, sebaik menerima pengesanan bot tersebut dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA), sebuah aset APMM yang sedang melakukan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang leka menarik pukat.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing berwarna merah tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga lelaki warga Thailand berusia antara 21 hingga 49 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati tekong bot turut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram,” katanya dalam kenyataan di, sini, hari ini.
Mohd Zawawi berkata, pihaknya kemudian mengambil tindakan merampas bot yang berukuran 15 meter panjang dan 2.7 meter lebar bersama 10 kilogram hasil tangkapan.
Katanya, bot itu diiringi masuk ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“APMM memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di jalur perairan negara jiran.
“Pihak kami juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999,” katanya.
Leave a Reply