Warga emas sebagai tekong darat cuba seludup PATI ditahan

CUBAAN seorang warga emas yang berperanan sebagai tekong darat ditahan dalam serbuan di Taman Berkat, Sabak Bernam ketika cuba menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam.

Lelaki tempatan berusia 64 tahun itu cuba menghantar dua lelaki dan dua wanita berusia antara 13 hingga 45 tahun kepada tekong laut semasa diserbu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

“Mereka dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui laluan yang tidak diwartakan menggunakan jalan laut.

“Siasatan lanjut polis telah menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 51 tahun yang bertindak sebagai penghubung kepada tekong laut berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan dan sejumlah wang tunai berjumlah RM8,380 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM23,380.

Menurutnya, kesemua tangkapan akan menjalani ujian calitan Covid-19 untuk mengelak penularan wabak tersebut di kalangan pesalah dan anggota polis.

Rizal berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 dan suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *