Polis jamin keselamatan kediaman penduduk terpaksa berpindah ekoran kebakaran tapak sampah

PENDUDUK di kawasan perumahan yang diarahkan berpindah ekoran kebakaran tapak pelupusan sampah Sungai Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang diingatkan tidak bimbang dengan keselamatan kediaman masing-masing.

Ini kerana kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, anggota polis akan sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan kediaman mereka.

Jelas beliau, pemantauan itu akan dilakukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) Daerah Seberang Perai Selatan.

“Pihak polis sama ada dari anggota sektor bertugas, URB dan MPV Daerah akan membuat rondaan berkala di kawasan perumahan penduduk yang telah diarahkan berpindah,” katanya menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang di sini.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily turut menjalankan tinjauan di lokasi kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu yang memasuki hari keenam hari ini.

anggota polis akan sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan kediaman mereka

Kebakaran tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu berlaku pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.

Ekoran itu, kira-kira 400 individu daripada 86 ahli keluarga yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah terbabit terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily turut mengingatkan orang ramai terutama penduduk berdekatan supaya tidak membuat sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka dengan sengaja.

“Ini kerana jika perbuatan ini dikesan oleh pihak berkuasa, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pelaku tersebut,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *