kerajaan negeri Sabah GRS BN PAS ADUN Bebas Hajiji Noor GRS politik

Pengenalan diri tidak sah:Ketua MIC Sabah akan disiasat

KERAJAAN Sabah akan menyiasat laporan mengenai Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara tidak sah selepas beberapa tahun berhijrah dari India ke Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, dakwaan itu hanya diketahui melalui media sosial dan akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Hajiji turut mengesahkan bahawa Peer Mohamad adalah orang sama dikaitkan dengan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu yang dilantik kerajaan negeri untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

“Kita akan siasat perkara itu. Saya belum dapat maklumat lanjut tetapi nama yang disebut Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu itu adalah Pengerusi MIC Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tiga usaha sama pelaburan antara kerajaan negeri dan Yayasan Sabah dengan syarikat tempatan serta luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji mengulas dakwaan terhadap Peer Mohamad selepas namanya disebut antara individu yang pernah mengaku mendapat kewarganegaraan secara tidak sah pada 1980-an ketika pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah pada 2013.

Sebelum ini, beberapa pihak mahukan kepastian sama ada Peer Mohamad yang dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu adalah individu sama yang didakwa datang dari India ke Sabah pada awal 1980-an sebelum mendapat kewarganegaraan secara tidak sah enam tahun kemudian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *