Menjadi pendiam petanda ajal sebelum tragedi lemas

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG daripada dua remaja yang lemas dalam Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama, Pasir Gudang menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap sebelum tragedi itu berlaku.

Bapa mangsa, Sabri kadir, 48, berkata, anaknya, Sharif Mohd. Sharizan biasanya akan melihat wajahnya ketika mereka berbual tetapi tiba-tiba berubah menjadi pendiam kira-kira empat hari lalu.

“Biasanya apabila saya bercakap dia akan memandang wajah saya tapi sejak tiga empat hari lalu, dia hanya tunduk apabila saya bercakap dengan dia dan memandang ke depan,” katanya.

Sabri Kadir

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian arwah Sharif dan seorang lagi mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, hari ini.

Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Xindai hadir.

Che Zakaria (kiri), Sabri (tengah) dan ahli keluarga serta rakan arwah hadir pada pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Padir Gudang, hari ini.

Jenazah Sharif tiba dahulu dan dikebumikan pada pukul 10.45 pagi manakala jenazah mangsa lemas kedua, Mohd. Ahlan Kiram pula dikebumikan bersebelahan Sharif kira-kira satu jam selepas itu.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang kelmarin, Sharif, 11, dan enam rakannya bermain di tepi Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama sebelum seliparnya dikatakan terjatuh dalam air lalu cuba mengambilnya.

Arwah Sharif terkapai-kapai dan Mohd. Ahlan, 14, yang melihat kejadian itu cuba membantu tetapi tidak berjaya lalu kedua-duanya lemas sebelum rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung.

Sabri berkata, anaknya itu jarang pergi ke kawasan sungai tersebut sebelum ini dan semasa kejadian mangsa bermain bersama-sama rakannya yang duduk satu taman denganya.

“Saya mendengar cerita sahaja dia cuba mengambil selipar yang terjatuh tetapi saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Sabri berkata, keluarganya reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu dan menyifatkan mangsa sebagai anak paling manja dalam keluarganya.

Sementara itu, abang kepada Mohd. Ahlan iaitu Mohd Syahlan, 19, berkata, berdasarkan cerita rakan mangsa yang terlibat, adiknya cuba membantu menyelamatkan Sharif tetapi tidak menyangka dasar sungai itu dalam.

Mohd Syahlan

“Menurut cerita, adik saya sangka kawasan itu cetek tetapi apabila pergi membantu Sharif, kawasan itu dalam sebenarnya dan dia yang tidak tahu berenang turut lemas,” katanya yang bekerja di kilang di Pasir Gudang.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Kebajikan Xindai, Ungku Ibrahim Ismail Ungku Muhamad Yunos berkata, pihaknya menghulurkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban mereka.

“Kita akan beri bantuan susulan terutama kepada keluarga Sabri kerana dia hanya berniaga nasi lemak dan menyewa sebuah bilik dan bukan sebuah rumah di taman itu disebabkan tidak mampu selain sudah berhenti kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *