SEBANYAK 10 buah sekolah berdekatan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang terpaksa ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pelajar.
Sekolah terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong; SJKT Nibong Tebal; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SJKT Ladang Changkat; SMK Methodist dan SK Nibong Tebal.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu notis pemakluman yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini.
Menurut notis berkenaan, Mesyuarat Bencana Daerah telah memutuskan indeks udara di kawasan sekolah-sekolah dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) daripada tapak pelupusan sampah yang terbakar itu berada pada Tahap AEGL 3.
Tambahnya, kepekatan udara itu mampu memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.
“Sehubungan itu, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah berkenaan untuk menutup sesi persekolahan bermula 19 (esok) hingga 21 Januari ini.
“Pihak PPDS akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu (22 Januari) tentang status pengoperasian semula sekolah berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah SPS,” demikian menurut notis itu.
Tambah notis itu lagi, pada tempoh tersebut murid-murid akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) manakala pihak sekolah diminta memaklumkan kepada guru-guru dan ibu bapa mengenai pelaksanaannya.
Sejak dikesan Rabu lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung di kawasan seluas kira-kira tujuh hektar masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Leave a Reply