Bayi kembar lahir dalam bot di tengah Tasik Banding

SEORANG ibu berketurunan Orang Asli selamat melahirkan bayi kembar dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke hospital di Gerik, pada Sabtu lalu.

Jabatan Kesihatan Perak dalam Facebook mereka, hari ini memaklumkan, kelahiran dua bayi berkenaan disambut pegawai perubatan, jururawat masyarakat dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.

Jelas kenyataan itu, kejadian tersebut berlaku sewaktu usaha membawa wanita tersebut dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik.

“Wanita berusia 31 tahun itu mengalami sakit bersalin ketika pemeriksaan dilakukan jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

“Dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram.

Ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram

“Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi menjalani rawatan susulan,” menurut kenyataan itu tanpa menyatakan jantina bayi.

Proses kelahiran itu dianggap satu detik bersejarah buat anggota kesihatan terlibat kerana dilakukan dalam keadaan bot yang sedang bergerak tanpa peralatan lengkap.

Untuk rekod, Pos Kemar merupakan sebuah penempatan orang asli di kawasan Gerik dan penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar masuk.

Jarak antara perkampungan itu untuk ke Hospital Gerik mengambil masa hampir dua jam menggunakan laluan air dan darat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *