SEJAK semalam, tular hantaran dalam laman Facebook Pemuda UMNO Bahagian Rembau yang menyarankan agar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dijadikan ‘poster boy’ BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Nak BN menang besar PRU15? Letak insan bernama Mohamad Bin Haji Hasan ni ‘poster boy’ BN..
“Letak insan ni calon PM pasca PRU15.. In shaa Allah orang UMNO akan undi BN, ahli² komponen BN akan undi BN , rakyat majoritinya pun akan undi BN, rakyat akan pastikan BN menang besar, siap isi borang masuk UMNO lagi……,” demikianlah bunyi hantaran tersebut.
Mungkin penulis hantaran tersebut meletakkan harapan yang tinggi agar BN meletakkan Mohamad atau lebih popular dengan gelaran Tok Mat sebagai ‘pelaris’ bagi menarik sokongan pengundi.
Harapan itu adalah bersandarkan populariti yang diraih oleh Tok Mat sehingga membolehkan BN menang pada PRN Melaka serta beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14.
Setakat ini tidak diketahui apa maklum balas Tok Mat sendiri dan pucuk pimpinan UMNO dan BN khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap saranan tersebut.
Selama ini, sudah menjadi kelaziman bagi parti-parti politik di Malaysia untuk meletakkan pemimpin tertinggi mereka sebagai ‘poster boy’ semasa kempen pilihan raya.
Dalam hal ini, kemungkinan besar muka Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO akan terpampang pada bahan-bahan kempen parti.
Itupun jika PRU-15 diadakan sebelum UMNO sempat mengadakan pemilihan parti sekali gus mengekalkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi.
Faktor itu boleh merencatkan peluang Tok Mat untuk menjadi ‘poster boy’ BN, kecuali Ahmad Zahid berjiwa besar dan bersedia memberi laluan kepada timbalannya.
Selain itu, masih ada lagi kumpulan dalam UMNO yang setia terhadap Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terdapat kebarangkalian yang tinggi mereka akan membantah cadangan menampilkan Tok Mat sebagai ‘poster boy’ BN kerana langkah itu akan menjejaskan populariti bos-bos besar mereka.
Satu-satunya cara bagi membolehkan Tok Mat dijadikan ‘poster boy’ adalah dengan memilih beliau sebagai Presiden UMNO dan ia hanya boleh dilakukan melalui pemilihan parti.
Justeru, akar umbi UMNO khususnya Pemuda perlu mendesak pucuk pimpinan parti untuk mengadakan pemilihan sebelum PRU-15.
Jika mereka tidak berani membuat desakan itu, harapan untuk melihat wajah Tok Mat menghiasi bahan-bahan kempen BN cuma tinggal harapan.
Terpaksalah akar umbi UMNO berpuas hati dengan hakikat mereka akan bertempur dalam PRU-15 dengan dibayangi imej-imej kluster mahkamah.
Leave a Reply