IPD Kota Bharu

Satu tahanan lelaki ditemukan mati dalam lokap

BELUM pun reda kes satu orang kena tuduh (OKT) mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 13 Januari lalu, seorang lagi tahanan lelaki ditemukan mati ketika dalam lokap di IPD Kota Bharu semalam.

Tahanan lelaki yang berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala yang dilakukan oleh pihak polis.

“Suspek disangkakan tidur dan dikejutkan namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan.

“Pegawai perubatan yang tiba dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ke lokap IPD Kota Bharu mengesahkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada pukul 11 pagi.

OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata, suspek tersebut ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan awal urin suspek sebelum ini didapati positif dadah jenis metamphetamine.

“Suspek berada dalam tempoh tahanan reman sebelum didapati meninggal dunia di dalam sel di IPD Kota Bharu,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pasukan dari Unit Forensik turut memeriksa mayat di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Siasatan bagaimanapun masih dijalankan dan mayat dijangka menjalani proses bedah siasat itu pada hari ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *