peniaga juta kerani wanita TM suri rumah pelajar

RM100,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam

Oleh RIZQI ZABIDI

SIMPANAN seorang pesara guru wanita berjumlah RM100,000 lesap apabila dia terperdaya dengan panggilan Macau Scam oleh dua individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis berpangkat sarjan baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritenden Elias Omar, wanita tersebut pada awalnya menerima panggilan telefon dari salah seorang suspek yang mengaku sebagai ejen insurans pada 3 Januari lepas.

Katanya, ejen insurans dari Kuala Lumpur itu mendakwa dia menghubung mangsa kerana terdapat tuntutan insurans terhadap wanita tersebut memandangkan pesara guru berkenaan sebelum ini dikatakan pernah terlibat dalam kemalangan.

“Sebaik wanita itu menafikan dakwaan yang dia pernah terlibat dengan kemalangan, pesara guru tersebut diarahkan untuk membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu. Oleh itu panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang suspek lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.

“Namun setelah membuat siasatan kononnya, ‘sarjan’ tersebut mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram pula. Mangsa kemudiannya diminta memberikan 16 nombor digit yang tertera di kad bank miliknya, serta butiran perbankan dalam talian untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek juga cuba menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

“Bagi mengelak daripada ditangkap, mangsa perlu melaporkan diri melalui aplikasi Whatsapp kepada suspek setiap dua jam.

“Semakan ke atas akaunnya pula mendapati berlaku kegiatan pemindahan wang berjumlah RM100,000 secara berperingkat dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga. Sehubungan itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 13 Januari lalu,” katanya.  

Elias menambah, siasatan kini dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *