Kantoi cuba seludup barang keperluan harian ke Indonesia

DUA individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau selepas cuba menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan bersubsidi ke negara jiran di perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 1.30 pagi melbatkan bot kargo dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

Katanya, sebanyak 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak peket, 3.4 tan tepung gandum, 1,764 set kosmetik pelbagai jenama serta pelbagai barangan runcit dirampas Zon Maritim Tawau.

“Sebelum itu sepasukan anggotanya melakukan rondaan Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan berkenaan, terdapat sebuah bot kargo dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Bot kargo tempatan itu didapati sarat dengan muatan pelbagai barangan yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *