Rohana Abdullah 22 dokumen

Hamzah tersentuh kisah Rohana hidup 22 tahun tanpa kewarganegaraan

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tersentuh dengan kisah Rohana Abdullah yang ditinggalkan ibunya ketika berumur dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu.

Beliau juga telah mengarakan pegawainya untuk menyiasat kesahihan maklumat dalam kes tersebut terlebih dahulu.

“Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Rohana dibesarkan oleh seorang guru tadika, Chee Hoi Lan, 83, selepas ibunya pulang ke Indonesia pada 1999.

Ibu Rohana yang berkahwin dengan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai kakitangan pembersihaan di tadika berkenaan.

Hoi Lan seterusnya membesarkan Rohana mengikut cara hidup Islam sejak 22 tahun lalu namun gadis itu masih belum beroleh dokumen untuk mengesahkan taraf kewarganegaraannya.

Hoi Lan berkata, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana seperti menghantarnya ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), mempelajari perkara asas Islam dan memastikan makanannya halal serta melakukan ibadat sebagai seorang Islam.

Dia yang tidak berkahwin, meluahkan rasa kasihnya terhadap Rohana dan lega kerana dapat membesarkan gadis itu sebagai seorang Islam, namun dia berharap dapat melihat Rohana berkahwin sebelum ajalnya.

Bagaimanapun, ekoran situasi dirinya, Rohana berdepan masalah mendapatkan status kewarganegaraan.

Dia telah memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *