UMNO, BN belum putuskan tanding solo dalam PRN Johor

Oleh RIZQI ZABIDI

UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk berdepan dengan satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan dan benar-benar menjadi kenyataan.

Begitu pun menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, keputusan sama ada BN dan UMNO akan bertanding secara solo atau bersama-sama parti lain hanya akan dibuat secara konsensus oleh kepimpinan parti itu apabila tiba masanya nanti.

“UMNO dan BN sentiasa bersedia. Jika itulah keputusan Johor (PRN), UMNO dan BN sedia menghadapinya.

“Sama ada kita bertanding solo atau bersama rakan-rakan lain, itu akan ditentukan secara konsensus oleh kepimpinan tertinggi parti. Sebagai Naib Presiden, saya tak berhak bercakap bagi pihak parti dan semuanya terpulang kepada kepimpinan peringkat Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meyempurnakan Penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah hari ini.

Sementara itu katanya, perjalanan parti ketika ini berlangsung cukup baik walaupun jawatan Perdana Menteri bukan dipegang oleh Presiden UMNO seperti tradisi sebelum ini.

“Usah wujudkan pandangan seolah-olah ada dua kelompok dalam UMNO kerana perkara itu tidak wujud. Sebagai Naib Presiden, saya boleh sahkan bahawa segalanya baik-baik saja di peringkat Pusat.

“Kita berada dalam satu rangka kerja menuju Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) dengan Presiden komited menguruskan parti ketika Naib Presiden menjadi Perdana Menteri. Jadi saya tak nampak ada sebarang masalah ketika ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *