DESAS-desus berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin kencang apabila beberapa pihak menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan selewat-lewatnya awal Februari ini iaitu selepas sambutan Tahun Baru Cina manakala hari pengundian pula dijangka pada awal Mac sebelum Perhimpunan Agung UMNO.
Beberapa sumber ketika dihubungi berkata, walaupun Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilihat ‘cuba merahsiakan’ namun gerakan dan kenyataan oleh beberapa pemimpin membayangkan PRN Johor hampir pasti diadakan dalam masa terdekat.
Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk partinya menghadapi PRN Johor dilihat sebagai ‘isyarat’ bahawa parti itu sememangnya mahu pilihan raya itu diadakan atas alasan demi kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Ia memandangkan Kerajaan negeri hari ini dipimpin oleh Hasni daripada UMNO dengan majoriti tipis satu kerusi sahaja.
Dan hari ini pula Naib Presiden UMNO yang berasal dari Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO melalui Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian bertanding secara bersendirian ketika spekulasi bertiup kencang berhubung pembubaran DUN Johor.
‘’Memang PRN Johor seperti sudah tidak dapat dielakkan, UMNO memang bersemangat dan yakin mereka boleh menang besar kalau ia diadakan, sebab itu mereka mahu PRN,’’ kata sumber tersebut mengulas kenyataan Ahmad Zahid dan Khaled.
Ditanya bagaimana respons rakyat, sumber itu berkata, mereka tidak teruja untuk menghadapi PRN kerana menganggap sekarang bukan waktu sesuai memandangkan negara masih bergelut dengan Covid-19 dan beberapa daerah di Johor baru sahaja dilanda banjir dan memerlukan masa untuk rakyat kembali hidup seperti biasa.
‘’Alasan satu kerusi hanya mewujudkan ketidakstabilan pun boleh dipersoalkan kerana sebelum ini Kerajaan Negeri Johor diuruskan dengan kelebihan dua kerusi sahaja. Lagipun hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi PRU-15 akan diadakan, kalau PRN dilaksanakan sudah pasti akan memakan belanja besar,’’ kata sumber itu.
Walaupun apa yang dikatakan oleh sumber itu ada benarnya, namun UMNO mempunyai perancangan dan strategi sendiri dan ia sudah dapat dibaca bukan sahaja oleh sekutunya dalam kerajaan negeri Johor seperti Bersatu tetap juga pemimpin Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri sedang bersedia ke arah pembubaran DUN khususnya selepas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
‘’Politik Johor ini, boleh saya anggap sekarang ini panas, Khabar angin semakin kuat untuk pilihan raya negeri diadakan ialah semua orang tau majoriti mereka tinggal satu sahaja selepas Allahyarham Osman meninggal dunia dan mana mungkin kerajaan dari segi kestabilan boleh hidup dengan hanya satu majoriti.
‘’Jadi saya membaca begitulah memang banyak info dalaman yang mengatakan semacam telah ada persediaan untuk DUN Johor ini diubarkan. Mungkin dalam tempoh terdekat ini (bubar) sebab mereka hanya menangguhkan (pembubaran DUN Johor) kerana takut rakyat menempelak mereka dalam kesibukan atau kesedihan akibat suasana banjir yang berlaku di seluruh negara dan minggu lepas berlaku di Johor,’ kata seperti dilapor Malaysiakini.
SELEPAS PRN JOHOR, DESAK PRU PULA?
Sementara itu, dua penganalisis politik berpendapat, PRN Johor lebih awal mungkin digunakan untuk mencetuskan pilihan raya umum (PRU) tahun ini.
Penganalisis politik Prof. Dr Azmi Hassan berkata mereka yang memihak kepada PRU lebih awal mungkin akan berusaha sedaya upaya untuk mendesak PRN Johor diadakan tidak lama lagi kerana Barisan Nasional (BN) mungkin memenangi lebih banyak kerusi di negeri itu.
‘’Mereka sedar bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, mungkin hanya mengadakan pilihan raya itu pada 2023, sementara beliau mengukuhkan kuasanya. Bagaimanapun, sokongan berbelah bahagi dan ketidakstabilan dalam UMNO mungkin menyaksikan gesaan untuk PRU semakin meningkat jika BN melakukan lebih baik di Johor,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Azmi berkata kerajaan negeri boleh terus berfungsi walaupun hanya mempunyai majoriti satu kerusi tetapi ia akan berdepan tekanan untuk diadakan pilihan raya, atas alasan sukar untuk meneruskannya dengan margin tipis.
“Kemungkinan besar tujuannya adalah untuk mengadakan PRU pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi percaya bahawa Johor akan mengadakan PRN tidak lama lagi.
Menurutnya, Covid-19 tidak lagi menjadi faktor memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan lebih ketat ketika PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini.
Awang berkata, PRN Johor yang lebih awal akan membolehkan BN menggunakan jenteranya untuk memberi tumpuan terhadap kerusi Parlimen di Johor dan negeri lain.
Katanya, prestasi lebih baik dalam PRN akan meningkatkan persepsi terhadap BN untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 dan memberi tekanan kepada Ismail untuk mengadakan pilihan raya itu pada tahun ini.
“Ia (pilihan raya umum) sepatutnya selesai menjelang Julai,” katanya.
Apapun seperti mana mana kata satu sumber, walaupun belum ada pengumuman rasmi namun PRN Johor seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi.
‘’Kita tunggu sahaja sebab dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO mereka sudah diminta bersiap sedia bagi menghadapi PRN itu,’’ katanya.
Sebenarnya ‘strategi menang di Johor’ kemudian mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 turut menjadi bualan.
‘’Jika UMNO menang selesa di negeri itu, Ismail Sabri akan berhadapan dengan desakan daripada UMNO untuk buat PRU, ‘’ kata satu lagi sumber kepada penulis.
Malah sumber itu tidak menafikan Perhimpunan Agung UMNO pada pertengahan Mac akan menjadi platform untuk perwakilan UMNO mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen jika menang besar di Johor.
Apapun situasinya, ramai masih tertanya-tanya wajarkah PRN itu diadakan ketika rakyat masih berhadapan dengan pelbagai masalah kehidupan akibat serangan Covid-19 dan bencana banjir, tetapi seperti biasa ahli politik sentiasa sahaja ada alasan bagi mencapai agenda politik mereka.
Justeru sama ada PRN Johor baik untuk rakyat atau tidak, sama-samalah kita tunggu hasilnya nanti jika ia benar-benar diadakan.
Leave a Reply