Remaja tikam ibu sembilan kali hingga maut disebabkan permainan video

GARA-GARA permainan video, seorang remaja sanggup menikam ibunya sembilan kali sehingga maut semasa bergaduh di sebuah rumah di Tuscon, Amerika Syarikat, pukul 9 malam waktu tempatan pada Selasa.

Remaja lelaki berkenaan, Isaiah Ainuu, 13, membuat pengakuan kepada polis menyerang Mary Ainuu, 60, dengan pemberat senaman pada bahagian kepala sebelum menikamnya.

Mary dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kata polis dalam satu kenyataan memetik laporan agensi berita KGUN.

“Petugas kecemasan yang dikerah ke tempat kejadian memberitahu, suspek melarikan diri selepas menikam ibunya.

“Hasil siasatan mendapati, suspek bergaduh dengan ibunya sebelum menyerang mangsa. Tiada individu lain di tempat kejadian ketika itu,” kata kenyataan itu.

Menurut polis, suspek berkata telah berlaku pertengkaran dengan ibunya berhubung permainan video sebelum dia menyerang mangsa.

Polis kemudian berjaya mengesan suspek dan dia kini ditahan di Pusat Tahanan Juvana Daerah Pima sebelum didakwa di mahkamah kerana membunuh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *