Program TVET KPLB perlu ditambah baik agar selari kehendak industri

INSTITUSI pendidikan yang menawarkan kursus Teknikal dan Vokasional, TVET di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, perlu menyusun semula program kursus yang ditawarkan agar selari dengan perkembangan sektor industri.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program TVET yang ditawarkan juga perlu memastikan pelajar lulusannya mendapat jaminan pekerjaan.

“Dalam TVET ni ada banyak bidang, ada tiga peringkat persijilan, diploma dan ijazah tetapi yang dia buat tu kena matching dengan industri yang ada, contohnya minyak dan gas ada dalam TVET UniKL, boleh ke tidak matching dengan industri.

‘’Bila kita cakap pasal automotif yang ada di dalam industri tu jenis mekanik yang macam mana yang diperlukan dalam industri automotif, kereta-kereta moden sekarang ini sudah guna hibrid, ada yang pakai separuh petrol separuh bateri dan akan datang ini adalah EV kereta-kereta elektrik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan UMNO Padang Terap hari ini.

Mahdzir menegaskan, walaupun kebolehpasaran lulusan TVET KPLB ketika ini pada tahap 88 peratus, angka itu boleh ditingkatkan jika semua program kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.

“Sekarang kita sudah ada (kerjasama) dengan pemain industri, cumanya kalau kita ambil pelajar misalnya 40 orang pelajar, adakah pelajar itu mendapat kerja atau tidak.

‘’Kita tidak mahu mereka yang lulus diploma TVET misalnya tetapi tidak mendapat kerja kerana tidak selari dengan industri,’’ katanya.

Tambah beliau, antara bidang kursus yang  perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan industri adalah bidang perkapalan, kejuruteraan rel keretapi, automotif, minyak dan gas serta fesyen.

“Dalam Amanat (Tahun Baharu 2022 KPLB) semalam, saya sebut bahawa kita perlu duduk semula semua agensi (pendidikan TVET) untuk koordinasi.

‘’Kita tidak perlu buat benda yang sama, semua kolej buat benda yang sama, kursus yang sama di dalam KPLB,” jelas Mahdzir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *