HANYA kerana enggan membelikan makanan dan rokok, seorang wanita cedera dibelasah dengan topi keledar oleh teman lelakinya di Kampung Tanjung Che Lat, Tumpat, semalam.
Selain itu mangsa yang 38 tahun turut disepak di peha kanan dan kiri serta dicakar pada muka termasuk luka pergelangan tangan.
Kejadian berlaku pukul 2 petang apabila mangsa diminta datang ke rumah suspek sebelum berlaku perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, suspek berusia 30 tahun dikatakan bercinta dengan mangsa sejak dua tahun lalu.
“Ketika mangsa berada di luar pagar rumah suspek, berlaku selisih faham antara mereka menyebabkan lelaki itu menyepak beberapa kali di bahagian peha kanan dan kiri teman wanitanya.
“Mangsa juga mendakwa dipukul dengan menggunakan topi keledar di lengan kiri sebelum diheret dan turut dicakar di bahagian muka serta pergelangan tangan kanan untuk membawa wanita itu masuk ke halaman hadapan rumahnya.
“Punca perselisihan faham berlaku adalah disebabkan mangsa enggan membeli makanan dan rokok seperti diminta suspek yang mengadu kelaparan,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd. Azmir berkata, mangsa mendakwa teman lelakinya seorang panas baran serta penagih dadah.
Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat pukul 4.15 petang semalam.
“Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
Leave a Reply