Terence Naidu

ADUN DAP mengaku ditahan polis tapi nafi ambil dadah

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu menolak dakwaan beliau mengambil dadah di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih selama dua penggal, beliau amat menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin dengan salah satunya mematuhi undang-undang negara.

Dalam kenyataan media yang dikongsi menerusi Facebook miliknya hari ini, wakil rakyat DAP itu turut menegaskan akan mempertahankan diri untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung insiden penahanannya itu.

“Sepertimana dilaporkan media, sayalah ADUN yang ditahan polis itu. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden ini bahawa saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang dan sebenarnya saya sendiri juga terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak.

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana. Jadi saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk menyatakan bahawa dirinya berkemungkinan terdedah kepada anasir mencurigakan yang membawa kepada insiden itu.

Katanya, ada saksi mendakwa terdapat seseorang telah datang ke mejanya dan mengisi gelas minuman miliknya yang disifatkan sebagai minuman ‘aneh’.

“Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis. Berikutan itu, saya telah memohon polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai keadaan sebenar yang berlaku.

“Saya diundang ke sana untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina bersama rakan-rakan. Di sana saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Terence Naidu, 54, turut menyatakan kesediaan untuk digantung keahlian dalam DAP demi menjaga nama baik parti agar tidak terheret sama dalam kes itu.

Bagaimanapun jelasnya, tugas sebagai wakil rakyat akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab selain tetap berpendirian bahawa dadah adalah masalah sosial yang harus ditentang.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan akan saya patuhi.

“Buat penyokong yang mengenali saya secara peribadi terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *