240 atlet Johor tarik diri sertai Sukma 2020

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENANGGUHAN penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 beberapa kali sebelum ini mengakibatkan 240 atlet Johor menarik diri daripada menyertainya antaranya kerana faktor usia, melanjutkan pelajaran dan kerjaya.

Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan khidmat atlet di peringkat pembangunan bagi memikul tanggungjawab itu selepas mereka menarik diri.

“Kita sudah mempersiapkan kira-kira 600 atlet untuk bertanding di Sukma Johor yang sepatutnya dianjurkan di negeri ini dua tahun lalu.

“Namun setelah ditunda beberapa kali dan digantikan dengan Sukma di 2020 di Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kira-kira 40 peratus iaitu 240 atlet daripada jumlah itu terpaksa menarik diri.

“Saya percaya perkara sama turut berlaku kepada kontinjen negeri lain dan kita tidak dapat menghalang keputusan yang diambil. Kita masih positif dalam keadaan sekarang dan akan menggunakan khidmat atlet pembangunan bagi mengisi tempat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Majlis Kriket Johor dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Johor Cricket Academy & Oval di Johor Bahru.

Oktober lalu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2024.

Dalam mesyuarat jawatankuasa itu juga, Jawatankuasa Tertinggi bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma 2020 dan Sukan PARA Sukma 2020 di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohammad Syafiq berkata, temasya Sukma 2020 ini akan dijadikan penanda aras kemampuan atlet di peringkat pembangunan bagi menimba pengalaman berguna.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kriket Johor (JCC), Idris Abd Rahman berkata, pihaknya membangunkan pusat kecemerlangan kriket di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini di Johor Bahru bagi melahirkan lebih ramai atlet baharu yang berbakat besar.

Katanya, usaha itu juga bagi mengembalikan kegemilangan sukan kriket di Johor dan JCC menjadi persatuan kriket pertama mempunyai pusat kecemerlangan yang dipantau dan dikendalikan secara terus oleh persatuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

“SMK Medini dengan berbesar hati menempatkan 20 pelajar iaitu 10 pelajar Lelaki dan 10 pelajar perempuan di pusat kecemerlangan itu dan akan menambah 10 pelajar lagi pada tahun berikutnya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *