judi online

Remaja 17 tahun antara 23 individu didakwa promosi judi ‘online’

SEORANG remaja berusia 17 tahun serta dua berusia 18 tahun antara 23 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mempromosikan judi ‘online’.

Bagaimanapun, kesemua mereka iaitu 19 lelaki dan empat perempuan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 32 tahun itu didakwa secara berasingan mempromosikan permainan perjudian di dalam talian kepada pelanggan dengan menggunakan set komputer di dua lokasi berbeza.

Seramai 10 daripada mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney pukul 5.25 petang pada 7 Januari lalu manakala 13 yang lain di sebuah kondominium di Jalan Kelawei pukul 6.45 petang pada tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memohon mahkamah mengenakan jaminan maksimum RM10,000 namun peguam kesemua tertuduh, Pang Chun Keat memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Ini kerana menurut Chun Keat, tertuduh yang masih bujang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

Malah katanya, kesemua tertuduh juga terjejas mental dan fizikal kerana masih direman hari ini bagi tujuan pendakwaan meskipun tempoh tahanan reman mereka sepatutnya berakhir semalam.

Rosnee kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tertuduh manakala kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

Akhbar sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai pusat operasi selepas menahan 23 individu dalam dua serbuan berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen mempromosikan sindiket perjudian ‘online’ dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain turut dibayar komisyen sebanyak lima peratus jika pelanggan kalah dalam permainan perjudian tersebut.

Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu dengan waktu operasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari dan memancing pelanggan  melalui media sosial Facebook, Whatsapp dan Telegram.

Dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya 85 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 unit komputer riba, lapan set komputer meja; 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *