DAKWAAN Ustaz Abu Syafiq bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac 2021 adalah tidak benar.
Pegawai Khas kepada Muhyiddin, Mohd. Naaim Mahmod berkata, bekas Perdana Menteri kelapan itu dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.
“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.
“Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan.
“Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Naim menambah, pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan.
Ustaz Abu Syafiq yang sebelum ini pernah mengaku pergi ke tanah suci tanpa mengambil vaksin, membuat dakwaan tersebut menerusi akaun media sosialnya baru-baru ini.
Dakwaan itu susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad yang mahu pihak berkuasa menyiasat pengakuan Abu Syafiq bahawa dia pergi ke tanah susi tanpa mengambil vaksin.
Leave a Reply